Misi Khidmat Komuniti (MIKOM) 2012

on . Posted in News

Misi Khidmat Komuniti (MIKOM) 2012

Satu program khidmat masyarakat Misi Khidmat Komuniti (MIKOM) 2012 Menilai Status Kesihatan dan Pemakanan Penduduk di Pulau Perhentian telah dianjurkan oleh Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan UniSZA melalui Dietetic Students Association (DECSA) dengan kerjasama Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (PERKIM) Terengganu. Program telah berlangsung selama 3 hari 2 malam bermula 28 Mac hingga 30 Mac 2012 di Pulau Perhentian Kecil, Besut, Terengganu.

Program ini telah disertai oleh seramai 34 orang pelajar Ijazah Sarjana Muda Dietetik (Kepujian) tahun 3, seramai 8 orang pensyarah dan staf FPSK iaitu Prof. Madya Dr Shaharudin bin Abdullah, Encik Mohd Adzim Khalili Rohin, Puan Norhayati Abd Hadi, Encik Fadhlinoor Marican, Encik Mohd Nasir Mat Nor, Encik Zulkifli Ismail, Tn. Hj Yahya Mohd, Cik Azlina Mamat, Puan Noor Shahidda Sazura serta 2 orang staf Pusat Kesihatan Pelajar UniSZA iaitu Encik Suhaimi Sudin dan Cik Fadhlina Abd Rahman. Turut menyertai program julung kali ini ialah Prof. Dato' Dr. Ahmad Zubaidi A. Latif, Dekan FPSK. Pelbagai aktiviti bersama warga penduduk Pulau Perhentian Kecil telah diadakan, antaranya adalah Ceramah Kesihatan dan kuliah Subuh dan Maghrib yang disampaikan oleh Prof. Dato' Dr. Ahmad Zubaidi A. Latif, Dekan FPSK.

Pendidikan Kesihatan mengenai penyakit diabetes, darah tinggi, jantung dan gout disampaikan melalui pemeriksaan kesihatan percuma yang diadakan selama 3 hari sepanjang MIKOM 2012. Selain dari itu, para pelajar dietetik juga mengambil peluang menunjukkan bakat sambil memberi pendidikan mengenai pemakanan dan memasak secara sihat kepada penduduk Pulau Perhentian melalui demostrasi Dapur Masakan Sihat serta Jimat. Program kali ini juga turut diselitkan dengan sesi rawatan, pemeriksaan kesihatan dan kaunseling pemakanan ke rumah pesakit-pesakit kronik (diabetes, darah tinggi, jantung dan gout). Ianya dijalankan bagi mengenalpasti masalah kesihatan yang dialami oleh penduduk pulau dan memberikan rawatan serta bantuan makanan kepada mereka yang kurang upaya.

Pada hari kedua program sesi pemeriksaan kesihatan percuma dan ceramah pendidikan kesihatan diteruskan. Pada masa yang sama, bengkel motivasi bersama pelajar-pelajar Sekolah Rendah Kebangsaan Pulau Perhentian dikendalikan oleh mahasiswai dietetik dan memfokuskan kepada para pelajar yang bakal menduduki peperiksaan UPSR. Di sebelah petang, aktiviti riadah dan sukan diadakan bersama penduduk kampung bagi menggalakkan aktiviti fizikal. Antara aktiviti yang dijalankan termasuklah pertandingan futsal, sukaneka kanak-kanak dan Explorace. Di sebelah malam pula, program diisi dengan slot kuliah Maghrib dan Forum Perdana bertajuk Cabaran dan Isu Semasa Mengenai Akidah Umat Islam di Malaysia yang disampaikan oleh 4 orang panel yang diundang khas daripada Pusat Islam UniSZA (Ustaz Kamarudin Awang Mat, Ustaz Suhaimi Mohamad dan Ustaz Zulkeefli Awang)  dan PERKIM Malaysia (Ustaz Mohd Fadzli Bin Mohd Yusof). Forum Perdana ini mendapat sambutan yang memberangsangkan dan dihadiri kira-kira 200 orang penduduk setempat.

MIKOM 2012 mendapat sambutan dan sokongan daripada banyak pihak kerana keistimewaannya menggabungkan dua elemen penting iaitu kesihatan dan kerohanian dalam memberi pendidikan serta khidmat kepada masyarakat. Secara keseluruhannya, program ini telah berjalan dengan jayanya dan menepati objektif yang ditetapkan. Diharap program sebegini dapat diteruskan pada masa hadapan dengan penambahbaikan serta kerjasama daripada agensi lain bagi memantapkan lagi pengisian program.


Disediakan oleh,
Emynur Shafekh bin Semen
Pengarah MIKOM 2012.