Program Training of Trainers (TOT) Terengganu Bebas Asap Rokok (T-BAR) 2015

Written by FP on . Posted in News

Program Training of Trainers (TOT) Terengganu Bebas Asap Rokok (T-BAR) 2015 telah diadakan pada 20 November 2015 iaitu pada hari Jumaat bertempat di Batu Burok Beach Resort. Program ini dimulakan jam 8.30 pagi setelah selesai pendaftaran peserta. Majlis dirasmikan oleh Dr. Wan Mohd Razin, Timbalan Dekan HEPA dan Jaringan Komuniti Fakulti Perubatan UniSZA selaku penasihat program. Sesi pagi turut dihadiri oleh Dr. Fatimah Muda sebagai tetamu kehormat, wakil dari Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu.

Modul I bertajuk Rokok dan Produk Tembakau telah disampaikan oleh Dr. Haniif Ahmad Mazian, Pensyarah Perubatan Pelatih Unisza. Modul ini memberi pendedahan kepada peserta mengenai rokok dan produk-produk tembakau yang lain serta menyentuh sedikit tentang vape yang menjadi bualan hangat saat ini.

Modul II hasil pembentangan Dr. Salami Ibrahim, juga seorang Pensyarah Perubatan Pelatih UniSZA menyentuh tentang kesan rokok terhadap kesihatan. Modul ini bertujuan mendedahkan peserta kepada potensi fatal yang dibawa oleh rokok terhadap tubuh badan seorang perokok khususnya.

Modul III dan Modul IV yang dibawakan oleh Prof. Dr. Harmy Mohamed Yusoff, Timbalan Dekan Akademik Fakulti Perubatan UniSZA memberi penerangan tentang kesan rokok terhadap masyarakat dan alam sekitar. Modul ini turut memberi pengenalan dan penerangan tentang usaha sekretariat Terengganu Bebas Asap Rokok dalam mewujudkan kawasan bebas asap rokok.

Sesi petang pula dilanjutkan dengan aktiviti lapangan di taman awam Pantai Batu Burok di mana peserta telah dibekalkan dengan edaran berkaitan T-BAR. Peserta telah dipecahkan kepada 4 kumpulan dan telah ditentukan kawasan masing-masing. Pertandingan mengumpul puntung rokok dan ‘selfie’ bersama perokok telah dijalankan di samping menyampaikan maklumat tentang T-BAR kepada pengunjung. Aktiviti ini bertujuan mendapat gambaran awal kawasan tumpuan perokok dan mengasah kemampuan peserta untuk menyampaikan maklumat T-BAR dengan baik.

Peserta telah berkumpul kembali ke dewan dan kesimpulan dapatan dari aktiviti serta pelan projek akan datang telah di bentangkan antara projek akan datang yang mempunyai potensi dikembangkan adalah program kempen di sekolah sekitar Batu Burok, flash mob dan street performance serta kempen di kampus IPT seluruh Terengganu bagi mewujudkan kelompok ‘trainers’ seluruh Terengganu bagi menjayakan gagasan T-BAR. Peserta turut bersetuju untuk menjenamakan kelompok ‘trainers’ agar lebih diterima masyarakat khususnya golongan muda disamping mewujudkan Facebook Page bagi mencapai kelompok sasaran kempen. Program ini berakhir kira-kira jam 5.30 petang.

Secara keseluruhan, objektif program TOT T-BAR ini tercapai. Peserta sangat bersemangat untuk menggembeling usaha murni ini setelah memahami idea dan konsep keseluruhan gagasan T-BAR ini.

Adalah diharapkan, program susulan dan pelan jangka panjang “trainers” T-BAR akan terus mendapat sokongan moral dan material dari semua pihak.