Coronavirus: Kuman Seni Menggegar Dunia

Written by Webmaster on . Posted in Articles

Dr Safiya Amaran & Samhani Ismail, PhD.

 

corona-5071972 1280

 

 

Siapa sangka kita sempat hidup untuk menyaksikan kemunculan sebuah pandemik yang melakarkan sejarah dunia? Siapa sangka tahun istimewa 2020 yang dinanti-nanti dan mengilhamkan gagasan mendatangkan impak yang begitu besar? Bahkan, bukan hanya Malaysia, seluruh dunia walau di belah benua mana sekalipun, turut terkesan. 

 

 

Walaupun kita sudah melangkah ke tahun 2020, tahun 2019 masih mengekori. Ia berbekas di minda semua lantaran sebuah virus ‘bermahkota’ yang bergelar SARS-CoV-2. Dengan menggunakan singkatan COVID-19, virus yang menyebabkan Coronavirus Disease 2019 ini masih kekal memberi kesan. Hingga ke hari ini, angka serangan telah mencatat sebanyak 23,811,693 kes dan mengakibatkan kematian sebanyak 817,005 di seluruh dunia. (Sumber dari worldometer.info). 

 

 

Menariknya, coronavirus bukanlah satu makhluk yang asing buat kita. Ia sejenis virus biasa yang banyak ditemui terutamanya di dalam kelawar. Namun ia adalah makhluk asing bagi sistem pertahanan tubuh manusia. 

 

 

Sebelum SARS-CoV-2, hanya enam jenis coronavirus pernah ditemui pernah menjangkiti manusia. Dua yang popular kerana menyebabkan wabak di seluruh dunia iaitu SARS-CoV dan MERS-CoV manakala empat lagi tidak bahaya dan sudah lama menjangkiti manusia, iaitu sejak 1960. Epidemik SARS yang berpunca dari virus SARS-CoV terjadi pada pada tahun 2002 hingga 2003 manakala virus MERS-CoV pula telah menjangkiti manusia sejak tahun 2012 sehingga sekarang. Kedua-duanya menyebabkan jangkitan pernafasan akut dan boleh membawa maut. 

 

Kemunculan coronavirus  terbaru ini telah bermula di Wuhan. Ia kemudiannya menular ke seluruh dunia dalam tempoh masa sekitar tiga bulan sahaja. Perkembangan pantas ini meresahkan banyak pihak. Bukan sahaja orang awam, pihak berkuasa dan kesihatan juga terkesan. 

 

 

Persoalannya, ‘kenapa’?

COVID-19 adalah penyakit yang baru. Maka, banyak perkara yang belum kita ketahui tentangnya. Justeru, mencari solusi, strategi pencegahan dan perawatan umpama sebuah ‘perang’.

 

vaccine-4892017 1280

 

 

Ketiadaan ubat membuatkan rawatan menjadi sukar dan ketiadaan vaksin membuatkan pencegahan tampak lelah. Semua orang terdedah kepada risiko jangkitan COVID-19 ini kerana masing-masing tiada imuniti terhadap penyakit ini. Semua, baik yang tua mahupun yang muda, baik yang sihat mahupun yang sakit semua boleh dijangkiti jika terdedah kepada virus ini. 

 

 

Orang yang dijangkiti boleh menunjukkan manifestasi gejala yang berbeza. Ada yang tiada gejala, gejala ringan demam dan batuk sehinggalah gejala serangan akut pernafasan yang fatal. Rata-rata orang muda mendapat jangkitan ringan, tanpa sedar menyebarkan virus ini kepada ramai lalu merisikokan golongan  tua sebagai mangsa. COVID-19 berjangkit sewaktu berinteraksi dengan individu lain melalui percikan cecair pernafasan sewaktu bercakap, batuk ataupun bersin. Virus ini juga boleh tersebar melalui tangan sendiri ketika individu menyentuh tangan, hidung dan mulut mereka dengan tangan yang tercemar dengan virus. 

Atas sebab inilah interaksi sesama manusia perlu dielakkan. Pergerakan perlu dihadkan untuk memutuskan rantaian. Namun, timbul masalah dalam aktiviti seharian lantaran ia mengunci pergerakan manusia samada untuk mencari rezeki dan sebagainya. Kemajuan pengangkutan udara yang memudahkan migrasi manusia turut mempercepat kadar penularan wabak ke pelbagai penjuru dunia. Justeru, kadar penularan mencanak dengan pantas lantas menggemparkan seluruh dunia dan melumpuhkan sistem kesihatan di negara-negara yang teruk dilanda wabak. 

 

Hingga kini, dunia menyaksikan bagaimana kuman seni ini mampu melumpuhkan ekonomi serta sistem sosial di seluruh antero dunia.

  corona-4970836 1280 washing-hands-4940196  480bench-5017748 1280

Dr. Safiya Amaran merupakan Pakar Perubatan Kesihatan Awam (Epidemiologi) & Pensyarah Perubatan diFakulti Perubatan, Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA). Dr. Samhani Ismail pula merupakan Neurosaintis Kognitif dan Pensyarah di Fakulti Perubatan, Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA).