13 September Hari Sepsis Sedunia

Written by Webmaster on . Posted in Articles

Mohd Faeiz Pauzi, MD, MMed (Anaes) & Siti Norazlina Juhari, MD, MMed (Family Medicine)

 

 

photo-1576086213369-97a306d36557

 

Tahukah anda, 13 September dinobatkan sebagai Hari Sepsis Sedunia (World Sepsis Day)? Bermula pada tahun 2012 hasil inisiatif pihak Global Sepsis Alliance, Hari Sepsis Sedunia seterusnya disambut pada setiap tahun. Pelbagai aktiviti dan promosi dianjurkan untuk meningkatkan kesedaran dunia berkenaan sepsis. Kenapa sepsis begitu penting? 

 

Sepsis adalah keadaan di mana bakteria tersebar ke seluruh tubuh melalui aliran darah. Ini mengakibatkan  fungsi organ terganggu, seterusnya boleh  menyebabkan kematian. Kerosakan organ bukan sahaja disebabkan oleh jangkitan kuman tetapi juga disebabkan respon tubuh menghadapi jangkitan tersebut. 

 

Bayangkan, setiap 2.8 saat, ada sahaja kematian yang diakibatkan oleh sepsis. Ini bermakna sepsis telah menjadi krisis kesihatan global. 20 peratus jumlah kematian seluruh dunia ada pertaliannya dengan sepsis. Sebanyak 47 sehingga 50 juta penduduk dunia terjejas dan mengakibatkan bilangan kematian sehingga 11 juta kes setahun. Untuk setiap negara, sepsis menyumbang 15 hingga 50 peratus kematian. Di Malaysia, satu pertiga kemasukan hospital adalah disebabkan sepsis, dan satu pertiga kemasukan hospital ini juga meninggal dunia lantaran sepsis.

 

Meneliti makna sebenar sepsis yang berasal daripada perkataan Yunani “sipsi”, yang bermakna “menjadi busuk”. Secara mudahnya sepsis adalah reaksi tubuh terhadap sebarang jangkitan kuman. Sepsis bermula apabila tubuh badan bertindak-balas melawan jangkitan dan ini merosakkan tisu dan organ dalaman tubuh sendiri. Kerosakan mengakibatkan terjadinya kejutan septik atau dikenali juga sebagai septic shock dan kegagalan pelbagai lagi organ tubuh. Jika perkara ini tidak disedari dan dibiarkan tanpa rawatan, ia boleh menempah maut. Sebagai contoh, sepsis adalah jalan terakhir untuk kematian disebabkan oleh komplikasi penyakit berjangkit termasuk jangkitan novel SARS-CoV-2 atau lebih dikenali sebagai COVID-19. 

 

photo-1588623358844-fd118c056dfc 

Punca sepsis

Mikroorganisma yang boleh mencetuskan sepsis termasuklah bakteria, virus, kulat dan parasit. Mikroorganisma bertindak menyerang pelbagai organ dan mengakibatkan jangkitan paru-paru pneumonia, jangkitan sistem pencernaan, buah pinggang, pundi kencing mahupun jangkitan melalui aliran darah. Kanak-kanak merupakan golongan yang paling berisiko mendapat sepsis, begitu juga golongan tua melebihi umur 60 tahun. Individu yang mempunyai tahap sistem imun yang rendah atau daya tahan melawan penyakit yang lemah ekoran ketiadaan limpa, menghidap kencing manis, kerap mendapatkan rawatan hospital terutamanya yang melibatkan unit rawatan rapi, mempunyai alat peranti invasif seperti tiub pernafasan dan saluran dalam darah serta pernah mengambil antibiotik dan ubatan steroid, rentan terhadap serangan ini. 

 

Untuk dikatakan sepsis, seseorang itu perlu disahkan dahulu sebagai terkena jangkitan kuman. Mereka yang mempunyai sepsis mempunyai gejala seperti pertuturan yang tidak jelas, keliru, demam atau menggigil yang melampau. Gagal membuang air kencing, berasa sesak nafas, rasa tidak selesa dan yang lebih teruk, ‘merasa dirinya seakan-akan mati’, diikuti warna kulit berubah menjadi bertompok-tompok gelap kebiruan juga antara gejala utama.

 

Daripada gejala ini, timbullah nama unik SEPSIS. Global Sepsis Alliance menghimpunkan simptom tersebut di dalam perkataan SEPSIS; Slurred speech / confusion, Extreme shivering / muscle pain, Passing no urine all day, Severe breathlessness, It feels like going to die, Skin mottled / discolored.

 

Apabila kita mengesyaki seseorang itu mengalami sepsis, kita perlulah menghantar mereka ke hospital dengan kadar segera. Sepsis tidak boleh dirawat sebagai pesakit luar atau di klinik sahaja, sebaliknya mereka perlu dirawat di dalam wad. Ini adalah kerana mereka perlu diberi suntikan antibiotik secara berkala untuk suatu tempoh dan memerlukan penyiasatan rapi daripada pasukan perubatan. Kemungkinan juga mereka memerlukan pembedahan jika ada tisu tubuh yang sudah mati bagi mengelakkan daripada penyakit merebak ke kawasan lain. Pesakit juga berkemungkinan besar memerlukan rawatan lanjut di ICU sekiranya mendapat serangan kejutan septik. Semasa kejutan septik, tekanan darah sangat rendah. Ubat vasopressor diperlukan bagi menaikkan tekanan darah dan inotrope untuk menguatkan jantung. Jika keputusan darah untuk mengetahui jenis kuman diperolehi, Rawatan antibiotik yang lebih spesifik boleh diberi jika jenis kuman penyerang sudah dikenalpasti.

 

Kematian akibat sepsis boleh dicegah. Cara terbaik adalah melalui vaksinasi, menjaga kebersihan diri, kerap membasuh tangan, mengelak jangkitan daripada sumber hospital, melahirkan anak dengan cara selamat dan meningkatkan kesedaran terhadap sepsis. Justeru, menobatkan 13 September sebagai Hari Sepsis Sedunia merupakan salah satu cara untuk meningkatkan kesedaran akan bahayanya.

 

Sila layari http://www.worldsepsisday.org untuk mendapat pelbagai infografik menarik berkenaan sepsis dan aktiviti untuk meningkatkan kesedaran sempena Hari Sepsis Sedunia (World Sepsis Day). Bahan-bahan ini sudah mendapat kebenaran untuk diedar sebagai sumber pendidikan.     

 

mop 

 

Dr. Mohd Faeiz Pauzi merupakan Pakar Perubatan Anestesiologi & Pensyarah Perubatan di Fakulti Perubatan, Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA). Dr. Siti Norazlina Juhari pula Pakar Perubatan Keluarga & Pensyarah Perubatan di Fakulti Perubatan, Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA), Kuala Terengganu.