PIL KUDA SASAR KANAK-KANAK SEKOLAH (siri 1)

Written by Webmaster on . Posted in Articles

Oleh: Dr Nur Khadijah Muhamad Jamil, Samhani Ismail

 

 children-602967 1280

 

Masalah ketagihan Pil Kuda begitu membejat akhir-akhir ini malah menandingi ketagihan terhadap dadah-dadah jenis lain. Membimbangkan, bukan setakat belia atau remaja, kini sasaran utama pengedar adalah kanak-kanak sekolah. Statistik bersumberkan Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) bagi tahun 2018 dan 2019 mencatatkan  kira-kira 2,280 pelajar sekolah rendah terjebak dengan gejala serius ini.

 

Latar belakang pil kuda

Pil Kuda atau nama saintifiknya, methamphetamine merupakan sejenis dadah sintetik yang terhasil melalui campuran bahan kimia seperti ephedrine dan pseudoephedrine. Gabungan dua ‘kuasa’ ini menghasilkan kesan yang ‘hebat’. Terdapat dua bentuk methamphetamine yang sering  disalahguna iaitu yang tampil dalam bentuk pil dan kristal. Pil Kuda, Pil Yama, dan Pil Bom merupakan jenis pil yang kerapkali berlingkar di kalangan penagih, manakala Syabu, Ice dan Batu adalah yang tergolong di dalam bentuk kristal.  

Dinamakan sebagai pil kuda kerana masyarakat di Myanmar pada suatu ketika dahulu memberikan pil ini kepada kuda ternakan mereka untuk melakukan kerja-kerja berat seperti menarik kereta sorong bagi mendaki bukit.  Pil kuda merupakan sejenis dadah perangsang yang kuat di mana pengambilannya boleh meningkatkan tenaga serta-merta dan berpanjangan, selain meningkatkan kemampuan seksual. 

 

Lokaliti dedah Malaysia kepada risiko

Malaysia berisiko tinggi terdedah kepada dadah lantaran kedudukan geografi negara yang berada di tengah-tengah tautan sirkulasi najis ini. Laporan Dadah Dunia 2019 (World Drug Report 2019) melaporkan bahawa negara-negara di Asia Tenggara terutamanya Thailand dan Myanmar menjadi kawasan pemasaran methamphetamien paling pesat di dunia. Kedudukan Malaysia terutamanya Negeri Kelantan yang bersempadanan dengan negara Thailand mengundang risiko penyeludupan dan pengedaran dadah ke negeri ini. 

 photo-1549477880-6703139139c5

Faktor meningkatnya ketagihan pil kuda di kalangan kanak-kanak

Terdapat bebrapa faktor yang telah dikenalpasti menyebabkan penggunaan pil kuda semakin berleluasa di kalangan kanak-kanak. Faktor-faktor ini jika tidak dikekang, dibimbangi semakin berleluasa. Para ibu-bapa dan ahli masyarakat perlu mengambil berat akan hal ini bagi mengelakkan ia daripada terus merebak. Faktor-faktornya adalah sebagaimana berikut:

 

Kepincangan institusi kekeluargaan

Menurut laporan Persatuan Anti Dadah dan AIDS Malaysia (PADM), kebanyakan kanak-kanak yang terlibat di dalam gejala ketagihan pil kuda adalah daripada mereka yang menghadapi masalah kepincangan keluarga. Ibu bapa yang bercerai, sibuk dan kesempitan hidup menyebabkan kurangnya pemantauan mereka terhadap anak-anak. Akibatnya, mereka merasa terabai, tidak dihargai dan tidak disayangi. Kelemahan estim diri ini memungkinkan mereka terbabit dengan kancah ini. Apatahlagi tanpa didikan, panduan dan pengawasan yang baik daripada ibu bapa, kanak-kanak bebas bergaul tanpa mengira waktu atau dengan siapa mereka berkawan. 

 

Ditambahi dengan sifat ingin tahu yang tinggi pada kanak-kanak, sikap suka mencuba perkara baharu mendedahkan mereka kepada pengaruh persekitaran terutamanya rakan sebaya. Ini menjadi antara asbab terpenting terjebaknya kanak-kanak di dalam gejala yang tidak sihat bahkan menggelapkan masa depan.

 

Harga yang murah dan mudah didapati

Pil Kuda dan dadah jenis methamphetamine lain amat mudah diperolehi dengan harga serendah RM7-15 sebiji. Ia datang dalam bentuk pil yang mudah diambil dan diedar. Amat membimbangkan apabila terdapatnya sindiket atau ‘tokan’ dadah yang mengeksploitasi golongan remaja yang terdiri daripada pelajar sekolah untuk mengedarkannya. Kononnya mereka menjual gula-gula berperisa namun ia sebenarnya dadah. ‘Tokan’ dadah ini menjadikan pendapatan lumayan serta dadah percuma sebagai umpan untuk para pengedar remaja bagi mendorong mereka ‘bekerja keras' mencari pelanggan termasuk rakan sebaya.

 

Kesan yang ‘hebat’?

Pil Kuda merupakan sejenis dadah peransang yang menstimulasi sistem saraf dan meningkatkan tahap kesedaran serta kewaspadaan individu. Individu turut merasa gembira, lebih bertenaga dan agresif, serta meningkatnya kekuatan fizikal serta daya seksualiti mereka. 

 

Namun dikesali, kesan keseronokan akibat rembesan dopamin yang tinggi ini hanyalah sementara. Walaupun pada mulanya mereka akan merasa seronok dan lebih bersemangat untuk belajar, namun kesan mudaratnya jauh lebih besar. Malah, kerosakan tersebut tidak boleh dikembali menjadi bentuk asal. Pelajar akan mula menunjukkan perubahan personaliti hingga menjadi malas, hilang daya tumpuan, tidak mampu menyiapkan kerja sekolah, mudah resah, tidak tenang, ponteng kelas, melanggar disiplin lain dan tidak mampu meneruskan pengajian.  Mereka turut mengalami kesukaran untuk tidur, terganggu selera makan, berat badan yang menurun secara ketara, berkelakuan agresif, emosi tidak stabil seperti mudah marah dan paranoid, sakit kepala, lambat memproses informasi, penglihatan menjadi kabur dan percakapan terganggu.

 

Perubahan struktur saraf telah dikesan menyebabkan kerosakan otak di kalangan pengambilnya boleh  menghilangkan kewarasan dalam tempoh yang singkat, mengalami gangguan halunisasi, gila dan pelbagai penyakit mental yang lain. Ketagihan pil kuda dalam jangka masa lebih panjang turut merosakkan sistem-sistem badan yang lain seperti merosakkan hati, menggagalkan fungsi jantung, merosakkan buah pinggang, gigi, menyebabkan angin ahmar serta boleh membawa maut. Malahan, daripada sudut seksualiti pula, kesan kematian saraf organ reproduktif jelas meninggalkan parut yang lama kepada kehidupan penagih. Disfungsi erektil atau mati pucuk dilaporkan antara yang tertinggi menimpa bekas-bekas penagih pil kuda. 

 

Selain itu, sikap agresif turut mendominasi mereka. Kekerasan, kes-kes buli, pemerkosaan, ragut dan rompak merupakan antara siri jenayah yang mendampingi golongan ini. Apa yang membimbangkan, selain bahan ini mudah didapati terutamanya di negeri-negeri bersempadanan dengan Thailand, pil kuda boleh dibuat sendiri di rumah. Banyak tutorial terapung di media-media sosial. Usaha-usaha mempromosi jelas ingin menang walaupun melayahkan bangsa sendiri.

 

Dr Nur Khadijah Muhamad Jamil merupakan pensyarah perubatan pelatih (Farmakologi), Fakulti Perubatan, UniSZA. Dr Samhani Ismail merupakan pensyarah di Fakulti Perubatan, UniSZA dan pernah terlibat di dalam projek pembinaan modul pemulihan penagihan dadah berdasarkan integrasi ilmu biopsikososialspiritual.