Diserang virus ‘M’? Carilah ubat ‘M’

Written by Webmaster on . Posted in Articles

Oleh: Dr. Siti Yusrina Nadihah Binti Jamaludin 

 

 Webp.net-resizeimage

 

Bukan sesuatu yang pelik apabila perasaan malas membadai. Otak enggan berfungsi. Jalanan menjadi lemah. Sirkulasi darah pun tidak meriah. Tiada apa yang hendak disahut atau digapai. Segalanya kosong dan lesu.

 

‘VIRUS MALAS’

Ada ketikanya kita begitu bersemangat untuk menyelesaikan sesuatu perkara hingga penyelesainnya pantas dan tuntas. Namun, ada juga saatnya kita ingin berlengah-lengah dan bermalas-malasan sehingga tertunda tugasan yang diberi, tidak mampu selesai tepat pada waktunya. Menjadi hal yang manusiawi apabila seseorang itu dihinggapi virus ‘M’. Namun membiarkan ia merajalela tanpa rawatan, dikhuatiri virus ini membawa kesan negatif kepada kita.

 

Bagaimana mengimbangi lesu dan malas?

Tatkala virus malas menyerang, carilah ubat ‘M’, iaitu ‘MOTIVASI’. Banyak perkara yang boleh mengangkat kembali jiwa yang lesu, menyuntik motivasi kepada diri saat dilanda ujian membadai. Antaranya;

 

Mengingat kembali matlamat hidup 

Matlamat boleh dibahagi kepada dua. Matlamat jangka pendek dan matlamat jangka panjang. Tetapkan matlamat kita dan tuliskannya di buku catatan ataupun diari. Mereka sebaik-baik kawanan dalam perjalanan turun naik graf kehidupan. 

 

Sebaik sahaja kita berjaya melaksanakan sesuatu urusan, tandakan di buku catatan dan berilah penghargaan kepada diri lantaran keberhasilan itu. Insya Allah, dari sehari ke sehari, kita akan mengecap kepuasan itu apabila semua yang kita tetapkan sebagai matlamat menjelma sebagai kejayaan satu persatu. Andai ada ketikanya perasaan malas dan ingin bertangguh masih mencuri-curi peluang untuk menjelma, nyahkan perasaan itu dengan pesan Nabi.

 

Daripada Ibnu Umar r.a katanya, Rasulullah s.a.w memegang dua bahuku lalu bersabda,

“Hiduplah kamu di dunia seperti seorang asing ataupun musafir.” 

Maka Ibnu Umar r.a berkata: Jika kamu berada di waktu petang, jangan kamu tunggu sehingga waktu pagi. Jika kamu berada di waktu pagi, jangan kamu tunggu sehingga waktu petang. Ambillah dari waktu sihatmu (bagi persediaan) untuk waktu sakitmu dan ambillah dari waktu hayatmu (bagi persediaan) untuk waktu matimu.”

~ Hadith Riwayat Bukhari

 

 6ee33bc5722dab8cb2a12ddc81ce18d8--allah-quotes-quran-quotes

 

Mengapung doa pada Yang Kuasa

Dalam menjalani hidup sehari-hari, kita sememangnya perlukan kekuatan yang terpancar daripada doa-doa. Bahkan doa dikatakan sebagai senjata yang ampuh bagi orang Mukmin. Jangan pernah memandang rendah pada kuasa doa. Berdoalah apa sahaja kepada Allah s.w.t selagi mana doa tersebut bermaksud baik. Mohonlah kepada Allah agar dijauhkan daripada perasaan malas dan seumpamanya. 

 

Dari Abu al-Abbas Abdullah bin Abbas r.a berkata,“Suatu saat saya berada di belakang Nabi s.a.w, maka beliau bersabda: 

“Wahai anakanda, saya akan mengajarkan kepadamu empat perkara: Jagalah Allah, nescaya Dia akan menjagamu.

Jagalah Allah nescaya Dia akan selalu berada di hadapanmu. 

Jika kamu meminta, mintalah kepada Allah. 

Jika kamu memohon pertolongan, mohonlah pertolongan pada Allah. 

Ketahuilah sesungguhnya jika suatu umat berkumpul untuk mendatangkan manfaat kepadamu atas sesuatu, mereka tidak akan dapat memberikan manfaat sedikitpun kecuali apa yang telah Allah tetapkan bagimu. 

Jika mereka berkumpul untuk mencelakakanmu atas sesuatu, nescaya mereka tidak akan mencelakakanmu kecuali kecelakaan yang telah Allah tetapkan bagimu. 

Pena telah diangkat dan lembaran telah kering.”

~ Hadith Riwayat Tirmizi

 

 

Memandangkan kita telah melewati tahun Hijriah 1441H dan baru sahaja memasuki tahun baru Hijriah 1442H, mudah-mudahan kita dapat membuka lembaran baru dalam kehidupan dan meneruskan alur cerita kehidupan kita ke depannya dengan lebih baik. Akhir kalam, semoga penulisan ringkas ini bermanfaat. Saya titipkan doa di bawah yang boleh diamalkan setiap hari agar disempurnakan segala urusan tanpa bertangguh.

 

 

Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Mengasihani,

“Ya Allah, kami memasuki pagi ini dan kekuasaan itu milik Allah, keagungan dan kebesaran, penciptaan dan urusan semuanya.

Malam dan siang, serta segala apa yang terdapat di dalamnya adalah milik-Nya. Tiada sekutu bagiNya.

Ya Allah! Jadikanlah permulaan hari ini kebaikan, pertengahannya kemenangan dan hujungnya kejayaan.

Kami memohon kepadaMu kebaikan dunia ini wahai Yang Maha Mengasihani.” 

Amin

 

 

112-Article-Quote-Steve-Jobs-Dont-waste-your-time-living-someone-e1507392883407-600x515

 

***

Dr. Siti Yusrina Nadihah Binti Jamaludin (PhD) merupakan seorang pensyarah di Unit Farmakologi, Fakulti Perubatan, Universiti Sultan Zainal Abidin, Kuala Terengganu, Terengganu.