‘Malu-malu kucing’ mungkin berbahaya

Written by Webmaster on . Posted in Articles

Oleh: Dr. Norhidayah Badya

 

 

kucing

 

Pernahkah anda terfikir bahawa haiwan secomel kucing boleh membawa penyakit jika tidak dijaga dengan baik. Kucing, haiwan berbulu gebu yang sentiasa menjadi haiwan peliharaan berpotensi menjadi perumah beberapa jenis parasit yang bisa menjangkiti manusia. 

 

Parasit di dalam kucing dikenali sebagai Toxoplasma gondii merupakan sejenis organisma yang secara alaminya memilih kucing sebagai perumah utama dan membawa penyakit kepada manusia (dan haiwan mamalia yang lain). Penyakit ini dikenali sebagai “toksoplasmosis”.

 

 

Apa itu penyakit toksoplasmosis?

Umumnya, jangkitan toksoplasmosis tidak menyebabkan sebarang gejala penyakit kepada manusia yang berimuniti tinggi. Namun, Toxoplasma menyebabkan penyakit kronik kepada mereka yang mempunyai sistem imun yang lemah terutama pesakit AIDS. Jangkitan yang berlaku semasa peringkat awal ibu mengandung mengundang risiko berlaku keguguran secara spontan; manakala bayi yang berjaya dilahirkan pula adalah berisiko mendapat jangkitan kronik dengan kerosakan pada pelbagai organ terutama sistem otak bayi. Pesakit yang melalui pembedahan pemindahan organ juga adalah berisiko mendapat jangkitan ini, namun kes adalah sangat terpencil.

 

Parasit Toxoplasma gondii melengkapkan kitaran hidupnya di dalam tubuh kucing dan seterusnya, ia dikeluarkan di dalam najis kucing. Bayangkan, di dalam najis seekor kucing yang terjangkit boleh mengandungi kira-kira dua hingga 20 juta parasit! Lebih memeranjatkan, parasit ini boleh kekal infektif untuk jangkamasa panjang di persekitaran menjangkaui hampir satu tahun! Kekal infektifbermakna ia berupaya menyebarkan penyakit kepada manusia. Maka, tidak hairan lah sekiranya sepertiga populasi penduduk dunia dilaporkan membawa parasit ini di dalam tubuh mereka. Namun, kadar taburan jangkitan adalah berbeza mengikut negara dan berkisar antara 30 hingga 80%. Di negara Amerika Syarikat contohnya, Toksoplasmosis disenaraikan sebagai penyebab utama kematian yang berpunca daripada jangkitan melalui pemakanan.

 

 

meat

 

 

Manusia dan haiwan mamalia, seperti lembu, kambing, khinzir dan burung merupakan perumah kedua kepada Toxoplasma. Kebiasaannya, manusia mendapat jangkitan ini melalui pemakanan yang tercemar dengan najis kucing tersebut, hasil dari amalan sanitasi pemakanan yang tidak bersih. Contohnya, memakan sayuran dan buah-buahan yang tidak dibasuh dengan bersih dan minum air yang tercemar, termasuklah susu yang tidak dipasteur. Apa yang perlu dibimbangi, jangkitan tidak hanya berlaku melalui kontak rapat dengan haiwan jinak ini. Ia juga boleh berlaku apabila kita memakan daging separa masak dan mentah. Bagaimana ia boleh berlaku?

 

Dalam kebanyakan perumah mamalia, Toxoplasma menjadi pendam (dormant) di dalam sel dan tisu perumah dengan menukar peringkat aktif (tachyzoite) kepada peringkat pasif (bradyzoite), bergantung kepada sistem imun perumah. Pada masa ini, sekumpulan parasit akan berkumpul dan membentuk lingkaran cecair yang dikenali sebagai cyst di dalam tisu manusia. Menurut kajian, cyst ini kebanyakannya dijumpai terutama pada bahagian otak, mata dan otot (muscle) manusia. Lebih mengejutkan, peringkat cyst adalah kebal kepada sistem imun perumah dan mampu kekal pendam di dalam tisu organ tersebut buat selama-lamanya sepanjang hayat manusia yang terjangkit, tanpa menyebabkan sebarang gejala penyakit. Keadaan yang sama juga berlaku di dalam haiwan mamalia yang lain. Maka, manusia akan terjangkit apabila memakan daging mentah yang mengandungi cyst parasit. Walaubagaimanapun, usah bimbang. Cyst akan mati apabila daging terjangkit tersebut dimasak sepenuhnya. Parasit juga dipercayai akan mati di dalam suhu yang sejuk (bawah 0°C).

 

sel

 

Namun begitu, apabila sistem imun tubuh perumah menjadi lemah, contohnya apabila pesakit menjalani pembedahan, peringkat pendam parasit cyst boleh bertukar kepada peringkat aktif tachyzoiteyang berupaya menyerang tisu-tisu yang lain dan kemudiannya mencetuskan penyakit toksoplasmosis yang kronik. Jangkitan toksoplasmosis pada jantung dan otak manusia, boleh menyebabkan kematian!

 

Lebih merisaukan, buat masa ini, tiada sebarang ubat yang mampu membuang atau membunuh parasit toxoplasma di dalam tisu, baik di dalam otak atau mana-mana organ lain di dalam tubuh manusia. Maka, adalah disarankan agar kita menjaga amalan sanitasi terutama pemakanan yang baik, kerana mencegah itu lebih baik daripada merawat. Sebaik sahaja parasit berjaya “menghuni” sel-sel otak manusia, peluang untuk menyingkirkan mereka adalah sangat tipis.

 

Najis haiwan peliharaan juga perlu diurus dengan baik. Pastikan bekas najis kucing peliharaaan kita dibersihkan setiap hari.  Jika mampu, berikan mereka makanan di dalam tin atau pellet yang dikomersialkan. Jika tidak, sediakan makanan yang telah dimasak. Dan sebaiknya, elakkan daripada memberi daging atau makanan mentah. Jinak-jinak dan malu-malu si kucing, ia mungkin berbahaya kepada kita.

 

Dr. Norhidayah Badya merupakan pensyarah kanan Mikrobiologi di Fakulti Perubatan, Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA).