Penerima Anugerah Akademik Harapan Kini Bergelar Profesor Madya

Written by Webmaster on . Posted in News

INSPIRASI AKADEMIA

Oleh: Samhani Ismail, PhD

 

 

Azizul Tahniah

 

 

Baru sahaja dinobatkan sebagai penerima Anugerah Akademik Harapan Fakulti Perubatan, Dr. Azizul Fadzli Wan Jusoh @ Ab Rahim, 39 daripada Unit Perubatan Kecemasan, Pusat Pengajian Perubatan Klinikal, Fakulti Perubatan dinaikkan pangkat pula sebagai Profesor Madya. Gelaran yang berprestij ini dianugerahkan kepada beliau oleh Jawatankuasa Pengurusan Universiti, UniSZA berkuatkuasa 6 Oktober 2020 sekaligus menambahkan bilangan penyandang gelaran berprestij ini di Fakulti Perubatan. 

 

 

Sebagaimana ditanam, begitulah yang dituai, penghormatan yang diberikan kepada beliau ini merefleksi kecemerlangan sumbangan beliau terhadap ekosistem akademik dan kesarjanaan di institusi pengajian tinggi. Hakikatnya, pengiktirafan ini bukan sekadar melonjakkan martabat para akademia, sebaliknya yang lebih penting adalah bertambahnya beban amanah, tanggungjawab dan peranan di dalam menghasilkan lebih ramai modal insan yang cemerlang, berwibawa, berilmu dan berwawasan yang mampu bersaing dengan kepakaran antarabangsa.

 

 

 

Memulakan perkhidmatan di Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) pada tahun 2014, Prof. Madya Dr Azizul yang merupakan seorang pensyarah perubatan sekaligus sebagai pakar perubatan kecemasan ini senang berkongsi prinsip dan rahsia kejayaan beliau. Memiliki seorang isteri yang merupakan seorang Pakar Perubatan Psikologi, Dr Rosliza Yahaya, ayah kepada dua orang cahaya mata lelaki ini mendapat pendidikan awal di Sekolah Kebangsaan Tok Jembal, Kuala Nerus dan seterusnya ke Sekolah Menengah Sultan Ismail 2, Chukai, Kemaman, Terengganu.  Beliau seterusnya menyambung pengajian ke Maktab Rendah Sains Mara Muar, Johor. Di atas kecemerlangan yang ditunjukkan, beliau ditawarkan untuk melanjutkan pengajian ke peringkat Ijazah Sarjana Muda Perubatan di Universiti Sains Malaysia dan seterusnya menyambung pengajian ke peringkat Ijazah Lanjutan dalam bidang Master in Medicine (Emergency). Beliau turut menggilap kepakaran dengan menyertai program Clinical Fellowship of Emergency Ultrasound & Critical Care.

 

 

Anak ke-dua daripada lapan beradik kepada pasangan ibu ayah Maimunah Muda dan Wan Jusoh Mohd ini senantiasa berpegang kepada prinsip ‘memberi kepada insan, meminta daripada Allah’. Dengan menjadikan kekasih Allah sebagai suri teladan, beliau terus maju dengan wawasan menjadi pensyarah perubatan yang berjaya membentuk doktor perubatan yang kompeten serta berakhlak. Bagi beliau, menjadi pakar perubatan menyusur pahala memberi manfaat yang tidak terhitung sumbangannya kepada masyarakat, negara dan agama, dan itulah yang berakar teguh mengejap impiannya.

 

 

Azizul family

 

 

Tidak pernah patah kemudi melayari kehidupan, pengalaman pahit manis, jatuh dan bangun membuatkan mata hati seseorang semakin terang. Sebagai pensyarah malah sekaligus pakar perubatan kecemasan, sudah pasti banyak kejadian-kejadian yang memberi kesan kepada jiwa. Mengakui akan hal ini, beliau berkata, “Terlalu banyak kenangan yang tidak dapat saya lupakan. Every moment is special. Menjadi sebuah kepuasan dan kemanisan sesiapa jua yang bergelar pendidik apabila melihat anak didik mereka berjaya menjadi insan berguna. Begitu juga saya. Itulah antara sebab yang utama kenapa saya mahu menjadi seorang pensyarah. It’s good to be a doctor, you can save life. But it’s better to be a lecturer, you can develop more doctors to save more life. The best thing is when someday your former student will save your life in here or hereafter. InsyaAllah.” 

 

 

“Ilmu sifatnya menyuluh, tanpa ilmu kita akan teraba-raba di dalam kegelapan. Pendidikan adalah teras ketamadunan sesuatu bangsa. Justeru tugas guru amatlah berat kerana masa hadapan bangsa berada di bahu pendidik. Pendidik perlu beradaptasi dan berevolusi berdasarkan keperluan semasa dan peredaran zaman.”

 

 

Lantas, menjadi penerima Anugerah Akademik Harapan membuka dimensi baru bahawa banyak lagi sisi ilmu yang perlu dipelajari. Resam lubuk akal tepian ilmu, semakin berisi semakin menunduk, beliau melihat perjuangan yang terbentang begitu jauh dan berliku. “If you want to go fast, go alone. If you want to go far, go together.” Falsafah kebersamaan dan kesetiakawanan ini sebati dan menjadi intipati kejayaan beliau. Di samping mengucapkan jutaan terima kasih kepda pengurusan Fakulti Perubatan terutamanya Dekan, Profesor Nordin Simbak, beliau berkata, “Saya percaya bahawa kita mempunyai kolam bakat yang besar untuk membawa fakulti ke arah kecemerlangan. InsyaAllah. We created to complete not to compete.” Ulas beliau yang memiliki kepakaran di dalam pre-hospital care, disaster medicine, emergency critical care dan environmental emergency.

 

 

 

Azizul work

 

 

 

Seharusnya kejayaan menginjak ke aras yang lebih tinggi menyuntik semangat dan motivasi buat pensyarah-pensyarah muda, beliau tak lokek menitipkan pesanan, “Perjalanan masih lagi jauh ke depan. Kita tidak tahu bagaimana liku yang harus ditempuhi. Bagaimana cerun yang harus kita daki. We have our own roles and responsibility. You are who you are and the world is not complete without you. Maka lengkapkanlah diri dengan akhlak dan ilmu pengetahuan yang secukupnya. Walaupun selama-lamanya kita tidak akan menang di dalam mencelup ilmu di dalam lautan yang tidak berpenghujung luasnya. Hidup adalah ujian dan matlamat hidup adalah menjadi hamba Allah dan khalifah yang baik di muka bumi ini.” 

 

 

“Semoga kita senantiasa dipandang dengan pandangan rahmat oleh Dia yang memungkinkan kita tidak terpinggir daripada beroleh petunjuk daripadaNya.”