PRO 2 Exam Cemerlang di Era COVID-19

Written by Webmaster on . Posted in News

 

KUALA TERENGGANU - Peperiksaan Profesional 2 (PRO II) yang diadakan baru-baru ini mencatat kejayaan cemerlang dengan semua pelajar lulus walaupun peperiksaan terpaksa dijalankan dalam keadaan seliaan ketat berikutan gelombang COVID-19 yang masih melanda.

 

Peperiksaan PRO II merupakan peperiksaan terpenting bagi program pengajian perubatan dan merupakan salah satu syarat wajib untuk memastikan pelajar layak bergraduasi. Namun di era CVID-19 ini, pelaksanaan Peperiksaan PRO II di Fakulti Perubatan kali ini dilaksanakan secara berbeza dan mengikut Standard Operating Procedure yang telah ditetapkan bagi mengelakkan sebarang jangkitan. 

 

Peperiksaan yang diadakan pada 4 hingga 8 Oktober 2020 yang melibatkan komponen teori dan seterusnya pada 27 hingga 30 Disember 2020 bagi komponen klinikal ini melibatkan dua lokasi iaitu Kampus Perubatan UniSZA dan juga Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ), Kuala Terengganu. Seramai 60 orang pelajar Tahun 5 telah menduduki peperiksaan tersebut, diikuti Viva Voce pada 31 Disember 2020 yang diadakan di Bilik Mesyuarat 2, Kampus Perubatan. 

 

Peperiksaan turut melibatkan dua orang Pemeriksa Luar daripada Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIA) iaitu Prof. Madya Dr. Marzuki bin Omar dan daripada Universiti UCSI, Prof. Madya Dr. Ramli bin Ibrahim. Selain itu, 12 Penilai Luar daripada HSNZ, UIA dan Universiti UCSI turut dijemput, selain turut melibatkan sebahagian pensyarah serta staf pentadbiran, staf kejururawatan Pusat Pembangunan Hospital UniSZA dan staf makmal Pusat Pengurusan Makmal Berpusat, UniSZA. Seterusnya, sesi Viva Voce dijalankan yang melibatkan lima orang pelajar manakala  dua orang pelajar dipilih untuk sesi Viva Voce Distinction.  

 

Hasil peperiksaan, kesemua 60 orang pelajar telah lulus dengan jayanya. Fakulti turut berbesar hati menerima pujian daripada Pemeriksa Luar untuk pelajar, Lim Ann Yong yang menunjukkan prestasi cemerlang sepanjang peperiksaan berlangsung terutamanya sesi ViVa Voce di mana beliau telah mendapat markah A+ dengan kepujian.

 

Peperiksaan PRO II ini berakhir dengan sesi penyerahan cenderahati kepada Pemeriksa Luar dan sesi bergambar bersama Ahli Pengurusan Tertinggi Fakulti Perubatan. Pihak fakulti amat berbesar hati dengan maklumbalas positif yang diterima daripada kesemua Pemeriksa dan Penilai Luar yang dijemput, dan segala maklumbalas yang diterima diteliti semula bagi menambahbahbaik peperiksaan secara keseluruhannya dari semasa ke semasa.

 

Sehubungan itu, pada 3 Januari 2021, Fakulti Perubatan dengan kerjasama Medical Students’ Assoctiation of UniSZA (MediSZA) turut mengadakan Bengkel Pemerkasaan Graduan Perubatan Pelajar kepada semua pelajar yang bakal bergraduasi tersebut. Tujuan utama bengkel ini dijalankan adalah untuk memberi pendedahan awal kepada pelajar tentang persiapan sebagai pegawai perubatan siswazah dan cara beradaptasi fasa dalam kehidupan sebagai seorang doktor perubatan yang profesional dan  cemerlang. 

 

Tahniah dan selamat maju jaya daripada Fakulti Perubatan, UniSZA!

 

exam resize