Program Pengajian Sarjana Muda Perubatan dan Pembedahan
Program Sarjana Muda Perubatan dan Pembedahan (MBBS) telah dimulakan pada sesi akademik Julai 2009/2010 dengan pengambilan pertama seramai 30 orang pelajar. Program ini merupakan program sepenuh masa yang direka untuk melahirkan graduan perubatan yang kompeten, profesional dan penyayang.
Tempoh pengajian ialah minimum lima (5) tahun dan maksimum tujuh (7) tahun, bermula dari tarikh pendaftaran pertama.
Syarat Kemasukan
📋Syarat Kemasukan Sesi 2025/2026
Objektif Program
Program ini bertujuan untuk melahirkan pelajar perubatan yang:
-
Berpengetahuan luas, cekap dan mempunyai kemahiran insaniah yang tinggi.
-
Mampu bertindak secara profesional dan beretika dalam amalan perubatan.
-
Bersikap penyayang dengan pendekatan rawatan yang berasaskan komuniti.
Hasil Pembelajaran Program
Di akhir program ini, graduan akan dapat:
-
Mengaplikasikan ilmu perubatan dengan selamat dan bersesuaian.
-
Mengamalkan kemahiran perubatan dan pembedahan secara profesional.
-
Menggunakan pemikiran kritikal selaras dengan amalan perubatan berasaskan bukti (evidence-based medicine).
-
Berkomunikasi secara berkesan dengan pesakit, keluarga, rakan sekerja dan masyarakat.
-
Mempromosikan kesedaran kesihatan dan pencegahan penyakit kepada komuniti.
-
Mematuhi kod etika profesion perubatan.
-
Terlibat aktif dalam pembelajaran sepanjang hayat melalui penggunaan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT).
-
Mengurus sumber penjagaan kesihatan secara berkesan.
-
Menunjukkan ciri-ciri kepimpinan berkualiti dan semangat kerja berpasukan.
Peluang Kerjaya
Selepas berjaya menamatkan pengajian dan bergelar doktor perubatan, graduan diwajibkan menjalani perkhidmatan bersama Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM). Tempoh perkhidmatan bergantung kepada jenis tajaan yang diterima semasa pengajian.
Fasa awal perkhidmatan melibatkan latihan siswazah (housemanship) selama dua (2) tahun di hospital-hospital besar kerajaan. Dalam tempoh ini, doktor baru akan membiasakan diri dengan persekitaran kerja sebenar.
Setelah tamat housemanship, mereka akan dilantik sebagai Pegawai Perubatan dan ditempatkan di hospital besar, hospital daerah atau klinik kesihatan di seluruh negara.
Pegawai perubatan yang telah berkhidmat sekurang-kurangnya tiga (3) tahun berpeluang melanjutkan pengajian ke peringkat Sarjana Kepakaran Perubatan atau Sarjana Sains, sama ada di institusi tempatan mahupun luar negara. Selain itu, mereka juga boleh menduduki peperiksaan luar seperti Royal College di United Kingdom, Ireland atau Australia untuk menjadi pakar perubatan.
Tempoh pengajian bagi kursus sarjana kepakaran perubatan tempatan adalah sekurang-kurangnya empat (4) tahun. Selepas lulus dan diwartakan, mereka akan dilantik sebagai Pakar Perubatan, dan berpeluang dinaikkan pangkat ke jawatan Pakar Perunding. Pakar perubatan juga boleh memilih untuk menyertai universiti tempatan sebagai Pensyarah Perubatan di fakulti perubatan.