Program Pengajian Sarjana Muda Perubatan dan Pembedahan

Program Sarjana Muda Perubatan dan Pembedahan (MBBS) telah dimulakan pada sesi akademik Julai 2009/2010 dengan pengambilan pelajar seramai 30 orang. Program ini merupakan program pengajian sepenuh masa. Tempoh pengajian mengambil masa minimum selama lima tahun untuk mendapatkan ijazah dan tidak melebihi tujuh tahun (dari tarikh pendaftaran pertama pengajian).

Objektif Program:

Di akhir program ini, ianya diharap dapat melahirkan pelajar perubatan yang:

  1. Berpengetahuan, cekap dan berkebolehan yang tinggi dalam mengamalkan kemahiran insaniah.
  2. Keupayaan bertindak secara profesional dan akur dengan etika perubatan.
  3. Bersikap penyayang dengan pendekatan rawatan berteraskan komuniti.

Hasil Pembelajaran Program:

Di akhir program ini, ianya diharap dapat melahirkan pelajar perubatan yang:

  1. Menggunapakai ilmu perubatan dengan selamat dan bersesuaian.
  2. Mengamal ilmu perubatan dan pembedahan dengan mahir.
  3.  Menggunakan pemikiran kritikal selari dengan perubatan berasaskan bukti.
  4. Berkomunikasi secara berkesan dengan pesakit, saudara, rakan sekerja dan masyarakat.
  5. Menggalakkan kesedaran kesihatan dan pencegahan penyakit kepada masyarakat.
  6. Mematuhi kod etika profesion perubatan.
  7. Mengambil bahagian secara aktif dalam aktiviti pembelajaran sepanjang hayat melibatkan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT).
  8. Menguruskan sumber penjagaan kesihatan sewajarnya.
  9. Memaparkan ciri kepimpinan yang berkualiti dan semangat kerja berpasukan.

Peluang Kerjaya

Selepas berjaya menjadi doktor perubatan, graduan  dikehendaki menjalani perkhidmatan wajib dengan Kementerian Kesihatan Malaysia. Tempoh lama perkhidmatan adalah bergantung kepada jenis penajaan yang diterima semasa pengajian. Dua tahun yang pertama merupakan latihan siswazah atau housemanship. Pada masa ini, doktor baru akan belajar menyesuaikan diri dalam alam pekerjaan yang sebenar di hospital-hospital besar kerajaan. Selepas itu, mereka akan dilantik sebagai pegawai perubatan dan akan ditempatkan sama ada di hospital besar, hospital daerah ataupun di klinik kesihatan di seluruh negara.

Pegawai perubatan yang telah berkhidmat selama tiga tahun berpeluang untuk melanjutkan pelajaran dalam bidang sarjana kepakaran perubatan ataupun sarjana sains yang ditawarkan oleh universiti-universiti tempatan dan luar negara. Selain daripada itu, pegawai perubatan juga boleh menduduki peperiksaan luaran seperti Royal College di United Kingdom, Ireland atau Australia untuk menjadi seorang pakar perubatan. Bagi kursus sarjana kepakaran perubatan di universiti tempatan, ianya mengambil masa minimum selama empat tahun.

Selepas lulus pengajian sarjana kepakaran perubatan dan diwartakan, mereka akan dilantik sebagai pakar perubatan dan seterusnya berpeluang mendapat kenaikan pangkat sebagai pakar perunding. Pakar perubatan juga boleh menyertai universiti tempatan untuk menjadi pensyarah perubatan di fakulti perubatan universiti tempatan.

Contact Us

Faculty of Medicine
Universiti Sultan Zainal Abidin
Medical Campus
Jalan Sultan Mahmud
20400 Kuala Terengganu
Terengganu Darul Iman

  09-627 5546
  09-627 5771 / 5772
  fp@unisza.edu.my

Location

Follow Us