PENDARAHAN DARI HIDUNG, BERBAHAYA ATAU TIDAK?

PENDARAHAN DARI HIDUNG, BERBAHAYA  ATAU TIDAK?

Epistaxis ialah pendarahan yang berlaku di dalam rongga hidung. Kejadian ini biasanya berlaku kepada kanak-kanak dalam lingkungan usia 2 hingga 10 tahun dan juga golongan lanjut usia berumur diantara 50 hingga 80 tahun. Pendarahan daripada hidung biasanya kerap berlaku kepada kaum lelaki berbanding dengan wanita. Ia biasanya tidak memerlukan rawatan perubatan kecuali pendarahan yang berlaku adalah teruk dan tidak berhenti ia perlu segera dirujuk ke klinik berhampiran untuk mengelakkan berlakunya kehilangan darah yang banyak yang boleh menyebabkan berlakunya kecacatan atau kematian.

Rongga hidung dilapisi oleh lapisan mukosa yang mempunyai  banyak salur darah. Ia  bertindak sebagai laluan udara masuk ke paru-paru. Rongga hidung juga berfungsi  untuk memanas dan melembabkan udara yang melaluinya. Ia  juga merembeskan lapisan lender yang dapat  memerangkap kuman atau habuk dari masuk ke dalam paru-paru. Lapisan lendir ini juga menghasilkan antibodi yang dapat membunuh kuman yang terlekat di sini. Habuk yang agak besar akan dikeluarkan melalui bersin atau batuk.

DR. NURULHUDA BINTI MAT HASSAN Pensyarah PerubatanPakar Perubatan Keluarga

Jenis pendarahan hidung

Pendarahan di dalam hidung berlaku akibat daripada saluran darah di dalam rongga hidung terkoyak atau tercedera. Terdapat dua jenis pendarahan yang berlaku di rongga hidung iaitu pendarahan di bahagian hadapan atau dikenali sebagai anterior epistaxis dan pendarahan yang berlaku di bahagian belakang rongga hidung atau dikenali sebagai posterior epistaxis. 90% pendarahan yang berlaku dalam rongga hidung kebiasaanya terjadi di bahagian hadapan rongga hidung iaitu di kawasan Little’s area. Manakala 10% lagi pendarahan daripada hidung biasanya berlaku di bahagian belakang rongga hidung.

Pendarahan di bahagian hadapan rongga hidung kebiasannya terjadi kepada kanak-kanak. Pendarahan berlaku dikawasan Kiesselbach’s plexus atau Little’s area dimana darah keluar dari bahagian depan hidung dan mengalir keluar ke salah satu lubang hidung atau kedua-duanya sekali jika pesakit bangun atau berdiri. Biasanya ia disebabkan oleh berlakunya trauma pada bahagian hidung seperti kemalangan atau tabiat mengorek hidung dan ia menyebabkan pendarahan sedikit atau sederhana.

Pendarahan di bahagian belakang hidung biasa berlaku pada kawasan Woodruff’s plexus di mana pendarahan berlaku jauh di dalam hidung dan mengalir keluar melalui bahagian belakang mulut dan tekak. Kejadian ini kebanyakkannya berlaku kepada golongan lanjut usia disebabkan oleh faktor masalah kesihatan seperti darah tinggi, ketumbuhan atau masalah darah. Ia biasanya menyebabkan pendarahan yang banyak dari hidung dan perlu mendapatkan rawatan segera di klinik berhampiran untuk mengelakkan sebarang komplikasi.

Penyebab berlakunya pendarahan hidung

Punca yang sering menyebabkan berlaku pendarahan hidung ialah menghembus hidung dengan kuat. Hal ini berlaku terutama ketika waktu hidung tersumbat atau mengalami selesema yang teruk yang menyebabkan seseorang itu akan menghembus terlampau kuat hingga dinding dalam hidung mengalami kecederaan kerana impak tersebut. Cuaca juga menyumbang kepada salah satu faktor pendarahan hidung. Persekitaran yang terlampau panas akan menyebabkan badan kita menjadi kering dengan cepat. Perkara ini secara tidak langsung juga akan menyebabkan lapisan mukosa dalam hidung mengalami kekeringan. Justeru, apabila seseorang menghembus nafas terlalu kuat maka ia akan menyebabkan pendarahan berlaku.

Di samping itu juga, jangkitan bakteria atau virus boleh menyebabkan keradangan dalam hidung sekali gus menyebabkan kepecahan saluran darah dalam hidung seperti selesema. Sekiranya seseorang itu mengalami sebarang trauma pada bahagian hidung seperti mengalami kemalangan atau tabiat mengorek hidung juga boleh menyebabkan kecederaan pada struktur dalam hidung dan seterusnya boleh menyebabkan berlakunya pendarahan. Tahap kesihatan seseorang juga boleh menjadi salah satu faktor berlakunya pendarahan daripada hidung seperti hipertensi, ketumbuhan yang berlaku pada rongga hidung seperti Nasopharyngeal Carcinoma atau mempunyai masalah berkaitan dengan darah seperti Hemofilia (kekurangan faktor pembekuan darah).

Apa yang patut saya lakukan jika mengalami pendarahan hidung?

First Aid (Trotter's Maneuver)

Apabila anda mengalami pendarahan hidung, duduk tegak dan kepala membongkok sedikit ke hadapan untuk mengelak darah daripada mengalir ke belakang tekak dan menyebabkan anda tercekik. Picit hidung anda (di bahagian hidung yang lembut dan bukan di bahagian yang bertulang) untuk 10-20 minit dan bernafas melalui mulut anda. Letakkan pek ais ke atas dahi dan di bahagian atas hidung (seperti yang ditunjukkan di dalam gambar) serta mengulum ketulan ais. Ini boleh membantu mengecutkan salur darah dan mengurangkan pendarahan. Anda digalakkan untuk meludah darah daripada menelannya. Jika pendarahan berhenti, jangan cuba untuk menghembus keluar darah yang tinggal di dalam hidung kerana ia boleh menyebabkan pendarahan hidung berulang. Sekiranya pendarahan tidak berhenti segera berjumpa dengan doktor.Nosebleed

Apa yang doktor akan lakukan?

Doktor akan memeriksa anda dan mengenal pasti punca pendarahan. Sekiranya pendarahan berpunca daripada saluran darah di bahagian rongga hadapan hidung, doktor akan melakukan cautery (bakar) saluran darah denggan menggunakan cecair kimia (silver nitrat) untuk menghentikan pendarahan. Kebanyakan pendarahan akan berhenti dengan cara tersebut. Jika pendarahan tidak berhenti dengan menggunakan kaedah manual dan cautery, doktor mungkin akan melakukan prosedur nasal packing untuk menghentikan pendarahan, di mana sejenis span akan dimasukkan ke dalam hidung. Selepas tiada pendarahan daripada hidung selepas tempoh 24 sehingga 48 jam, barulah doktor akan mengeluarkan nasal packing tersebut. Tetapi, sekiranya pendarahan masih tidak dapat dihentikan atau dikawal, mungkin memerlukan prosedur yang perlu dilakukan di bawah pembedahan am seperti electrocautery, artery ligation atau clipping untuk menghentikan pendarahan.

Pencegahan yang perlu dilakukan

Berikut merupakan langkah-langjah yang anda boleh lakukan untuk mengelakkan berlakunya pendarahan hidung.

  • Gunakan spray pada hidung seperti normal saline terutama ketika cuaca sejuk dan kering untuk mengelakkan kekeringan dalam rongga hidung.
  • Elakkan daripada menghembus hidung atau bersin terlalu kuat untuk mengelakkan kecederaan pada salur darah.
  • Sekiranya hendak bersin pastikan mulut terbuka untuk mengelakkan tekanan dalam rongga hidung.
  • Elakkan perbuatan yang boleh menyebabkan trauma pada hidung seperti mengorek hidung untuk elakkan kecederan pada salur darah.
  • Berjumpa dengan doktor sekiranya kerap mengalami pendarahan daripada hidung atau berasa hendak pitam atau pengsan untuk melakukan pemeriksaan kesihatan bagi mengetahui status tahap kesihatan dan mengesan sebarang penyakit.
  • Amalkan pemakanan yang seimbang dan berkhasiat dari sumber yang sihat seperti sayur-sayuran hijau, buah-buahan yang kaya dengan vitamin C untuk meningkatkan imuniti badan dan mengelakkan dari jangkitan.
  • Bagi pesakit yang mengalami hipertensi, pesakit dinasihatkan untuk mengambil ubatan mengikut arahan doktor untuk mengawal bacaan tekanan darah pesakit dan dapat mengelakkan berlakunya pendarahan berulang dari hidung.

Kesimpulan

Pendarahan daripada hidung adalah perkara biasa yang terjadi terutamanya dikalangan kanak-kanak kecuali jika pendarahan yang berlaku adalah banyak dan tidak berhenti. Segera dapatkan rawatan jika anda mengalami pendarahan hidung yang tidak berhenti atau berlaku berulang kali. Penjagaan diri yang betul perlu diamalkan untuk mengelakkan berlakunya pendarahan yang berulang daripada hidung.

 

Rujukan

  1. Corry, J. K. & Clenney, T. (2005). Management of epepistaxisJournal of American Academy of Family Physicians, 71(2),305-311.
  2. Dhingra, PL., & Dhingra, S. (2017) Disease of Ear, Nose and Throat. India: New Delhi.
  3. Razak, A. (2014,November 9) Epistaksis (Pendarahan Hidung). http://www.myhealth.gov.my/en/epitaksis-pendarahan hidung
  4. Linda, D. (2014). Managing epistaxis. Journal of the American Academy of Physician Assistants, 27(11),35-36.

Disediakan oleh:

SN Nur Fatihah binti Abdullah,
Jururawat U29,
Jabatan Otorhinolaryngology,
Hospital Pengajar Universiti Sultan Zainal AbIdin.

Contact Us

Faculty of Medicine
Universiti Sultan Zainal Abidin
Medical Campus
Jalan Sultan Mahmud
20400 Kuala Terengganu
Terengganu Darul Iman

  09-627 5546
  09-627 5771 / 5772
  fp@unisza.edu.my

Location

Follow Us