WANITA DAN OSTEOPOROSIS

WANITA DAN OSTEOPOROSIS

Tahukah anda apa itu Osteoporosis?

Osteoporosis ialah satu penyakit di mana tulang menjadi lemah dan rapuh. Ini menyebabkan kadangkala tulang menjadi begitu rapuh sehingga tulang kita lebih mudah untuk patah dan aktiviti-aktiviti seperti membongkok, mengangkat barang, bangun dari duduk atau batuk yang kuat boleh menyebabkan keretakan pada tulang. Osteoporosis juga merupakan masalah kesihatan yang selalu ditemui di kalangan warga tua berumur 50 tahun ke atas. Bahagian tulang yang kerap terjejas adalah tulang pergelangan tangan, tulang belakang dan tulang pinggul (tulang punggung). Komplikasi kepatahan tulang pinggul akibat osteoporosis boleh menyebabkan kadar kematian sehingga 25% dalam tahun pertama. Dijangkakan hanya 25% dari pesakit ini akan kembali normal.

Di Malaysia, sekurang-kurangnya 1 di kalangan 3 orang penduduk berisiko tinggi mendapat osteoporosis. Kajian juga menunjukkan bahawa 50% daripada wanita berumur 50 tahun ke atas, mengalami patah tulang yang di sebabkan oleh osteoporosis. Hal ini lebih ketara terhadap wanita yang lanjut usia. Namun begitu, osteoporosis juga menyerang golongan lelaki namun angka peratusannya lebih rendah berbanding golongan wanita. Punca utama osteoporosis di kalangan golongan lelaki di sebabkan dengan usia dan sebab- sebab yang tidak di ketahui juga di panggil ‘osteoporosis idiopathic’.
photo_1.png

Apakah penyebab kepada osteoporosis?

Selepas putus haid (menopos), tahap hormon estrogen di dalam tubuh kita akan menurun. Ini menyebabkan kadar pelupusan tulang meningkat sebanyak 1-3% setahun dan proses ini akan berterusan. Bagi lelaki kadar pelupusan tulang bermula agak lambat berbanding wanita tetapi akan menjadi sama dengan kaum wanita selepas umur 65 tahun. Dalam usia yang lanjut, wanita mungkin akan kehilangan sehingga 35-50% ketumpatan tulang manakala lelaki akan kehilangan sekadar 25-35% sahaja. Hasil penyelidikan bersama antara Universiti Putra Malaysia dan Universiti Otago, New Zealand menunjukkan kebanyakan wanita Malaysia mendapat kurang daripada 50% jumlah kalsium yang disarankan untuk kesihatan tulang mereka.(Berita Harian, Kalsium elak Osteoporosis, 11 September 2008). Menjelang tahun 2050, kesan osteoporosis di Asia dikatakan bakal menunjukkan peningkatan apabila lebih 50% pesakit dijangka berdepan masalah tulang retak atau patah tulang pinggul. (Laporan Asia Pasific Regional Audit: Epidemiology, Costs and Burden of Osteoporosis, 2013)

Apakah yang di maksudkan dengan Osteoporosis Primer dan Osteoporosis Sekunder?

Menurut Pakar Bedah Ortopedik Malaysia, Dr. Ahmad Mahyuddin Dato’ Mohamed menerangkan, osteoporosis di sebabkan oleh pelbagai faktor dan di bahagikan kepada dua jenis iaitu Osteoporosis Primer dan Osteoporosis Sekunder.

Osteoporosis Primer ialah keadaan yang mana berlakunya osteoporosis tanpa disebabkan oleh ubat-ubatan atau masalah perubatan yang lain. Ia terdiri daripada dua jenis iaitu:

Osteoporosis Type 1: Berlaku kepada wanita apabila mereka mengalami proses menopos. Wanita yang mengalami osteoporosis ini terdedah kepada patah tulang belakang dan pergelangan tangan.
Osteoporosis Type 2: Jenis kedua osteoporosis ini melibatkan proses penuaan dan dilihat berlaku terhadap pesakit yang berusia 75 tahun ke atas bagi kedua-dua jantina. Ia disebabkan oleh kurangnya penyerapan kalsium. Jika dibandingkan dengan osteoporosis Type 2, majoriti pesakit osteoporosis Type 2 lebih terdedah kepada patah tulang pinggul dan paha.

Antara penyebab utama kepada osteoporosis Primer adalah:
• Genetik - Caucasian (berkulit putih), orang Asia, wanita, sejarah keluarga, bertubuh kurus
• Hormon - Kekurangan hormon oestrogen, menopos
• Gaya hidup - Merokok, pengambilan alkohol dan kehidupan tidak aktif
• Diet- Kekurangan pengambilan kalsium atau vitamin D

Osteoporosis sekunder pula terjadi akibat daripada peningkatan kadar pelupusan tulang yang lama dan memperlahankan pembentukan sel tulang yang baru (osteoclastic activity) yang kebiasaannya di sebabkan oleh penyakit Cushing’s syndrome, hypogonadism, thyrotoxicosis, dan hyperthyroidism. Penyakit-penyakit kronik seperti kerosakan buah pinggang, liver cirrhosis, penyakit malabsorption iaitu selepas pembedahan buang perut dan usus, dan penyakit rheumatoid arthritis juga penyebab kepada osteoporosis sekunder. Lain-lain penyebab adalah kekurangan pengambilan sumber zat kalsium. Sesetengah ubat juga boleh menyebabkan osteoporosis sekunder berlaku apabila ia menghalang proses penyerapan kalsium atau mengganggu metabolisme kalsium di dalam badan antaranya adalah thyroxine, antacid, lithium dan warfarin.

Apakah tanda dan gejala untuk osteoporosis?

Osteoporosis adalah penyakit yang tidak mempunyai tanda dan gejala kepada majoriti pesakit sehingga kepatahan tulang berlaku. Pada peringkat awal kerapuhan tulang, pesakit tidak mengalami sebarang tanda atau gejala. Apabila kerapuhan telah menyebabkan tulang itu lemah, pesakit akan menunjukkan tanda dan gejala seperti berikut:

• sakit tulang belakang
• pesakit akan kelihatan pendek dan bongkok
• kepatahan pada tulang belakang, sendi pergelangan tangan, sendi tulang pinggul atau tulang lain walaupun oleh kecederaan kecil

Apakah faktor risiko untuk penyakit osteoporosis?

Faktor risiko adalah penyebab yang menyebabkan risiko kepada golongan wanita menghidap penyakit osteoporosis. Untuk osteoporosis, terdapat dua jenis faktor risiko iaitu yang tidak boleh di ubah dan yang boleh diubah.

Risiko yang tidak boleh diubah:
• faktor umur
• bangsa (Oriental & Caucasian)
• jantina perempuan
• putus darah haid pada umur awal (kurang dari 45 tahun)
• kurus
• sejarah keluarga osteoporosis


Risiko yang boleh diubah :
• pemakanan yang kurang mengandungi kalsium
• tidak banyak melakukan aktiviti fizikal
• menghisap rokok
• pengambilan alkohol yang berlebihan
• pengambilan kafein yang berlebihan

Apakah diagnosis untuk penyakit osteoporosis?

Osteoporosis boleh di kesan dengan menggunakan pelbagai kaedah dan alatan menguji ketumpatan tulang (Bone Mineral Density Test) dan yang selalu di lakukan adalah x-ray. Ujian yang paling sensitif untuk mengesan osteoporosis adalah Dexa Scan (dual energy X-ray absorptiometry). Ujian ini adalah mudah, pantas dan tepat. Ketumpatan tulang bahagian pergelangan tangan, tulang spina dan pinggul boleh diuji dengan tepat dengan menggunakan Dexa Scan. Saringan lain seperti ‘Frax Score’ juga boleh di lakukan jika ujian Dexa Scan tidak dapat di lakukan. Ujian darah seperti tahap calcium, fungsi buah pinggang, hormone T4, TSH, FSH, LH dan Testosterone juga dapat membantu untuk diagnosis osteoporosis.

Bilakah waktu yang sepatutnya untuk kita medapatakan rawatan untuk osteoporosis?

Rawatan pada peringkat awal adalah sangat penting. Proses kereputan tulang boleh diperlahankan jika penyakit ini dikesan lebih awal. Jika anda berisiko untuk menghidap penyakit ini segeralah berbincang dengan doktor terutamanya bagi wanita yang hampir atau yang telah putus haid.

Apakah rawatan ubatan yang dapat membantu untuk osteoporosis?

Selective Estrogen Receptor Modulators (SERMs): Ubat Raloxifene 60 mg sehari boleh mengekalkan ketumpatan tulang belakang dan pinggul. Ia juga mempunyai faedah tambahan iaitu mengurangkan risiko pembentukan kanser payudara.

Bisphosphonates: Ubatan bisosfonat seperti Alendronate dan Risendronate boleh mengurangkan kadar pelupusan tulang. Ianya boleh mengurangkan kadar kepatahan tulang sehingga sebanyak 50%. Sangat sesuai bagi individu lelaki, muda dan mereka yang menghidap osteoporosis atas sebab pengunaan steroid yang berlebihan. Kesan sampingan ubat ini termasuklah sakit perut dan gastritis.

Calcitonin: Adalah agen anti pereputan yang diberikan melalui sedutan hidung. Ia juga mempunyai kesan penahan sakit. Kalsium:Apabila osteoporosis sudah di tahap teruk, garam kalsium sahaja tidak memadai. Namun ia adalah rawatan tambahan yang boleh digunakan bersama ubatan yang lain.

Vitamin D: Vitamin D sebanyak 800 IU/sehari yang diambil bersama kalsium berkesan untuk mengurangkan kadar osteoporosis pada warga tua.

photo_3.png

Kesimpulannya, pengambilan kalsium dan vitamin D yang mencukupi serta senaman amat membantu untuk membina tulang yang kuat dan melambatkan proses kerapuhan tulang Jangan menghisap rokok, kurangkan pengambilan alkohol dan kafein juga turut membantu untuk menghindarkan kita dari osteoporosis. Bagi wanita yang belum menopos dan tiada faktor-faktor risiko untuk penyakit osteoporosis, kesedaran tentang penyakit perlu anda fahami dan sebaiknya langkah-langkah awal pencegahan seperti minum susu dengan secukupnya perlulah di amalkan. Sementara itu, bagi wanita yang mempunyai faktor risiko tumpukan usaha untuk merawat penyakit-penyakit berkaitan seperti di dalam osteoporosis sekunder sebaik-baiknya. Bagi wanita yang sudah menopos, jangan bertangguh untuk menjalani ujian ‘Bone Mineral Density Test (BMD)’ dan jaga kesihatan anda. Amalkan senaman ‘weight bearing’ dan elakkan dari aktiviti yang boleh menyebabkan kecederaan dan patah tulang.

Ayuh, sama-sama kita ubah cara dan gaya hidup kita kepada yang lebih baik untuk masa depan yang sihat. Bertangguh itu adalah pencuri masa. Sesungguhnya mencegah itu adalah lebih baik dari merawat.

Rujukan

1. LIFESTYLE/Sinar-Aktif/masalah-osteoporosis-wanita
2. Berita Harian, Kalsium elak Osteoporosis.(11 September 2008)
3. (Laporan Asia Pasific Regional Audit: Epidemiology, Costs and Burden of Osteoporosis,2013)
4. NIH Osteoporosis and Related Bone Diseases ~ National Resource Center
5. http://www.mmgazette.com/osteoporosis
6. http://www.myhealth.gov.my
7. http://www.infosihat.gov.my/osteoporosis
8. https://www.bones.nih.gov/health-info/bone/osteoporosis/overview
9. https://www.who.int/chp/topics/Osteoporosis.pdf
10. http://www.osteoporosis.my/aboutOsteo/about_whatOsteo.asp-Malaysian Osteoporosis Society

Disediakan oleh

Nora Marlina Binti Jusoh
Jururawat U29
Hospital Pengajar UniSZA
This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it.

Contact Us

Faculty of Medicine
Universiti Sultan Zainal Abidin
Medical Campus
Jalan Sultan Mahmud
20400 Kuala Terengganu
Terengganu Darul Iman

  09-627 5546
  09-627 5771 / 5772
  fp@unisza.edu.my

Location

Follow Us