Masalah Kesihatan Mental dalam Era Pasca-Pandemik COVID-19

Ditulis oleh Dr. Nurulhuda Mat Hassan, Pakar Perubatan Keluarga UniSZA pada 10 Oktober 2022.

 

Umum mengetahui bahawa 10 Oktober merupakan Hari Kesihatan Mental Sedunia. Pasca pandemik COVID-19, masalah kesihatan mental merupakan antara masalah kesihatan yang melonjak naik.

“Masalah kesihatan? Masalah mental bukannya masalah kesihatan!”

Tanggapan tersebut adalah sangat tidak tepat!

Maksud ‘kesihatan’ menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) adalah suatu keadaan kesejahteraan fizikal, mental dan sosial, bukan sekadar ketiadaan penyakit atau kesakitan (1). Bahkan, kaitan kesihatan mental dan kesihatan fizikal sangat rapat, sehinggakan kerajaan United Kingdom pada tahun 2011 telah menamakan dokumen polisi strategi kesihatan mental mereka sebagai “No health without mental health” (2).

Kesihatan mental bertambah penting setelah pandemik COVID-19. Dengan jumlah orang-orang yang telah dijangkiti COVID-19 melebihi 600 juta orang (3), jumlah orang-orang yang mendapat sindrom COVID berpanjangan (‘long COVID’) juga meningkat.

 

Masalah Kesihatan Mental dalam Sindrom COVID Berpanjangan

Masalah kesihatan mental telah disenaraikan sebagai salah satu gejala sindrom COVID berpanjangan. Kajian pangkalan data yang besar telah menunjukkan jangkitan COVID-19 meningkatkan risiko mengalami gangguan kebimbangan baharu sebanyak 1.78 kali, dan gangguan ‘mood’ seperti kemurungan sebanyak 1.79 kali berbanding jangkitan influenza (4). Kajian kohort besar dari Amerika Syarikat menyokong perkara ini, dimana ia telah menunjukkan bahawa diagnosis kesihatan mental baharu adalah lebih tinggi dalam kalangan orang yang mempunyai jangkitan COVID-19 selepas 14 hingga 90 hari, berbanding dengan masalah kesihatan yang lain (5).

Jika anda mengalami simptom kebimbangan atau gelisah pada kebanyakan masa, atau mempunyai rasa murung dan ketidakupayaan untuk menikmati perkara-perkara yang menggembirakan anda sebelum ini, dan menghidap COVID-19 sebulan hingga empat bulan yang lalu, anda mungkin mengalami gejala masalah mental sindrom COVID berpanjangan. Lebih-lebih lagi sekiranya anda mengalami simptom fizikal sindrom COVID berpanjangan yang lain.

Infografik baharu yang dihasilkan oleh British Medical Journal (BMJ) juga telah menyenaraikan masalah kesihatan mental sebagai gejala sindrom COVID berpanjangan, dan menyatakan keresahan dan kemurungan sebagai masalah kesihatan mental utama dalam kategori ini (6).

 

Apakah yang menyebabkan gejala mental sindrom COVID berpanjangan?

Masalah kesihatan mental dalam COVID berpanjangan mungkin disebabkan oleh banyak faktor, dan setiap kes sindrom COVID berpanjangan adalah unik. Ramai orang yang menghidap sindrom ini mempunyai lebih daripada satu gejala yang melibatkan kedua-dua gejala mental dan fizikal. Sebuah kajian di Milan menunjukkan bahawa orang yang mengalami gejala fizikal pada satu hingga tiga bulan selepas jangkitan COVID-19 berkemungkinan 4.5 kali lebih tinggi untuk mengalami kebimbangan atau kemurungan (7). Hubungan ini menunjukkan keperluan untuk penilaian yang menyeluruh oleh para doktor terhadap pesakit yang pernah menghidap COVID-19, yang merangkumi penilaian kesihatan mental, terutamanya bagi mereka yang mempunyai banyak gejala fizikal dalam COVID berpanjangan.

Bagaimanapun, kaitan antara gejala fizikal dan masalah kesihatan mental bukan sahaja ditemui pada pesakit COVID berpanjangan. Satu kajian mengenai COVID berpanjangan dalam kalangan remaja di United Kingdom telah menunjukkan bahawa mereka yang mempunyai banyak gejala fizikal mempunyai kesihatan mental yang lebih teruk, tanpa mengira status jangkitan COVID-19 sebelum itu (8). Penemuan ini menunjukkan hubungan yang kuat antara kesihatan fizikal dan mental.

Hubungan antara masalah kesihatan fizikal dan mental ini berkemungkinan besar disebabkan oleh tekanan kepada badan dek jangkitan atau gejala fizikal. Pendedahan kepada tekanan yang teruk atau berterusan telah lama terbukti menjejaskan sistem fisiologi badan dan meningkatkan pengeluaran hormon kortisol. Pengaktifan sistem ini yang berpanjangan menyebabkan kerosakan pada reseptor glukokortikoid badan, mengurangkan kapasiti badan untuk mengawal keradangan dan menggalakkan pengeluaran sitokin pro-radang (9). Kesan keradangan yang membawa kepada gejala masalah mental seperti gangguan tidur dan kemurungan telah banyak dibuktikan sebelum ini (10). Malah, individu yang mengalami kemurungan didapati mempunyai tahap kortisol dan sitokin pro-radang yang lebih tinggi, bergantung kepada tahap dan peringkat kemurungan (11).

photo_6.png

Jangkitan COVID-19 itu sendiri menimbulkan tindakbalas keradangan yang menjejaskan pelbagai organ dalam badan. Selain daripada keradangan, reaksi autoimun dan kecederaan lapisan dalaman salur darah juga menjejaskan sistem saraf pesakit. Tindakbalas yang menjejaskan sistem saraf ini telah dikenalpasti sebagai antara punca timbulnya masalah kesihatan mental (12). Virus COVID-19 telah dikesan dalam cecair saraf tunjang pesakit COVID-19 (13), dan penemuan patologi di sel-sel otak hasil bedah siasat pesakit telah membuktikan kesan virus kepada sistem saraf dan otak (14). Keradangan dalam keseluruhan badan (sistemik) juga telah dikaitkan dengan gejala neuropsikologi dan kesihatan mental seperti kemurungan, kebimbangan dan masalah kognitif. Kajian kohort prospektif dalam kalangan orang dewasa telah menyokong perkaitan ini, dimana skor keradangan sistemik dapat meramalkan kejadian kemurungan dan gangguan kognitif pada tiga bulan selepas COVID-19, yang menunjukkan kepentingan keradangan sebagai faktor yang mendedahkan seseorang  untuk mendapat kemurungan dan masalah kognitif dalam sindrom COVID berpanjangan (15).

 

Apa yang boleh kita lakukan jika kita mengalami masalah kesihatan mental?

Infografik yang dihasilkan oleh BMJ telah jelas menyatakan tanda-tanda bahaya yang memerlukan tindakan segera atau konsultasi segera dengan doktor dalam sindrom COVID berpanjangan (6). Bagi masalah mental, tanda-tanda bahaya ini termasuk pemikiran mencederakan diri sendiri dan gejala kebimbangan dan gejala kemurungan yang semakin teruk.

Walau bagaimanapun, penilaian dengan doktor adalah amat disarankan apabila anda mempunyai gejala masalah mental, walaupun tanpa tanda-tanda bahaya. Para doktor perlu mengenalpasti sekiranya ada penyebab lain yang berkaitan, yang mungkin menyumbang kepada masalah kesihatan mental dan mengesahkan diagnosis masalah mental tersebut.

Anda juga boleh meneroka sokongan dalam talian, bagi mendapatkan maklumat tentang pengurusan diri dan menyertai kumpulan sokongan dalam talian. Namun begitu, pastikan laman web yang dirujuk adalah daripada sumber yang berautoriti. Bagi masalah kesihatan COVID berpanjangan terdapat laman web seperti laman web NHS bertajuk ‘Your COVID Recovery’ (16), yang merangkumi topik mengenai kesihatan mental. Sumber dalam talian lain juga mungkin membantu bagi masalah kesihatan mental secara am, seperti 'NHS every mind matters' (17) dan risalah dalam talian oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) (18). Risalah WHO mengandungi nasihat pengurusan diri untuk keadaan pasca COVID-19, termasuk masalah kesihatan mental dan rujukan kepada panduan pengurusan tekanan kendiri (19).

photo_5.png

Kajian telah membuktikan kepentingan kumpulan sokongan dan para doktor boleh menggalakkan pesakit menyertai kumpulan sokongan dalam talian sebagai salah satu pengurusan sokongan masalah kesihatan mental dalam sindrom COVID berpanjangan dan masalah kesihatan mental yang lain (20). Kumpulan sokongan didapati membantu dek interaksi dalam kumpulan membantu proses validasi gejala yang dialami melalui perkongsian pengalaman dan meningkatkan pengetahuan tentang masalah mental yang dialami.

Kesimpulannya, kita tidak sepatutnya mengambil ringan akan gejala masalah mental. Jika anda mengalami gejala kesihatan mental yang ringan, contohnya dalam sindrom COVID berpanjangan, mencari sokongan dan maklumat pengurusan kendiri dalam talian boleh membantu sebagai langkah awal sementara mendapatkan konsultasi doktor dan profesional kesihatan lain. Sementara itu, segeralah  berjumpa doktor jika simptom bertambah teruk, memberi kesan kepada kehidupan anda, atau jika terdapat sebarang pemikiran untuk mencederakan diri sendiri.

Ingatlah, tiada ertinya ‘kesihatan’ tanpa kesihatan mental yang baik.

Rujukan:

  1. https://www.who.int/about/governance/constitution
  2. https://assets.publishing.service.gov.uk/government/uploads/system/uploads/attachment_data/file/213761/dh_124058.pdf
  3. https://www.worldometers.info/coronavirus/
  4. https://www.thelancet.com/journals/lanpsy/article/PIIS2215-0366(21)00084-5/fulltext
  5. https://www.thelancet.com/journals/lanpsy/article/PIIS2215-0366(20)30462-4/fulltext
  6. https://twitter.com/bmj_latest/status/1574290176989450240
  7. https://www.ncbi.nlm.nih.gov/pmc/articles/PMC7461061/
  8. https://bmjopen.bmj.com/content/11/8/e052838
  9. https://www.ncbi.nlm.nih.gov/pmc/articles/PMC6987444/
  10. https://journals.sagepub.com/doi/10.1177/1073858420967892?url_ver=Z39.88-2003&rfr_id=ori:rid:crossref.org&rfr_dat=cr_pub%20%200pubmed
  11. https://journals.lww.com/psychosomaticmedicine/Abstract/2011/02000/Depression_and_Hypothalamic_Pituitary_Adrenal.2.aspx
  12. https://www.nature.com/articles/s41591-021-01283-z
  13. https://www.ncbi.nlm.nih.gov/pmc/articles/PMC7249973/
  14. https://www.ncbi.nlm.nih.gov/pmc/articles/PMC7245994/
  15. https://www.ncbi.nlm.nih.gov/pmc/articles/PMC7903920/
  16. https://www.yourcovidrecovery.nhs.uk/
  17. https://www.nhs.uk/every-mind-matters/
  18. https://www.who.int/europe/publications/i/item/WHO-EURO-2021-855-40590-59892
  19. https://www.who.int/publications/i/item/9789240003927
  20. https://www.ncbi.nlm.nih.gov/pmc/articles/PMC7750006/

Contact Us

Faculty of Medicine
Universiti Sultan Zainal Abidin
Medical Campus
Jalan Sultan Mahmud
20400 Kuala Terengganu
Terengganu Darul Iman

  09-627 5546
  09-627 5771 / 5772
  fp@unisza.edu.my

Location

Follow Us